skip to main |
skip to sidebar
Rumah PPRT baru siap
Dalam pembinaan
Rumah lama
POKOK SENA - Selama 17 tahun sebuah keluarga di Kampung Sungai Mati mendiami sebuah rumah usang yang diperbuat daripada bahan binaan terpakai sebelum mendapat perhatian Lembaga Wilayah Kemajuan Kedah (Keda) yang meluluskan pembinaan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Rumah berkenaan yang turut diduduki seorang orang kurang upaya (OKU) dan seorang penyakit penyakit kencing manis kini lega dapat menduduki rumah yang lebih selesa.
Salmah Mokhtar, 40, berkata, sejak menghidap penyakit kencing manis sejak 17 tahun dahulu, pengarakannya terbatas dan banyak kerja rumah diambil alih suaminya, Roshiri Hashim, 46.
Menurutnya, suaminya hanya bekerja mengambil upah untuk membuat kerja kampung dan pendapatan semasanya juga tidak menentu.
“Disebabkan saya menghidap penyakit kencing manis saya tidak mampu untuk membuat kerja berat, dan mujurlah suami banyak membantu di rumah selain keluar mencari nafkah.
“Jika tidak ada perhatian daripada pihak yang berwajib, pasti impian kami untuk menduduki rumah seperti ini hanya akan menjadi impian sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Pasangan ini dikurniakan dua anak iaitu Nurul Naliha, 16, yang belajar di sekolah pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Jabi dan Nurul Nazifa, 11 di Sekolah Kebangsaan Langgar.
Roshiri berkata, dia berusaha mencari kerja tetap tetapi perlu mendapat kelonggaran daripada majikan untuk mengambil dua anaknya di sekolah pada setiap hari.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah ditawarkan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah tetapi disebabkan jarak tempat kerja itu agak jauh daripada rumahnya dan jarak tempat anaknya bersekolah, dia terpaksa melupakan tawaran itu.
“Isteri pula sakit, jadi saya perlu mencari ruang dan masa untuk membuat kerja rumah seperti memasak, mengambil anak di sekolah dan juga menyelesaikan kerja-kerja kampung apabila diminta oleh masyarakat setempat seperti memotong rumput,” katanya.
Seorang penduduk prihatin meminjamkan sebuah motosikal kepada Roshiri bagi memudahkannya menghantar anaknya ke sekolah dan bekerja.