Banner 468x60_staticbanner




Saturday, January 30, 2010

Peranan ICU diperluas


KUANTAN - Peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang sebelum ini hanya berperanan sebagai badan pemantau kini diperluaskan sebagai badan yang menyelesaikan masalah yang wujud di dalam projek kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd :Najib Tun Razak sejak beberapa bulan lalu mengarahkan ICU bertindak sebagai badan penyelesaian masalah.

Menurutnya, Perdana Menteri juga membuat keputusan ICU diberi peranan sebagai :trouble shooter:.

”Jika ada masalah yang wujud dalam perlaksanaan projek, ICU akan bertindak sebagai penyelesai masalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) Kerajaan Negeri Pahang bersama Nor Mohamed di Wisma Sri Pahang di sini, semalam, yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata, peranan baru itu diberikan kepada ICU ekoran wujudnya masalah birokrasi di dalam pelaksanaan sesebuah projek walaupun masalah itu bukan dalam jumlah yang besar.

Menurutnya, masalah birokrasi meskipun wujud tetapi ia hanya sedikit sahaja terutamanya melibatkan isu pelantikan konsultan di antara kementerian-kementerian dengan agensi-agensi di peringkat negeri.

”Tak banyak masalah birokrasi tapi wujud sedikit seperti isu pelantikan konsultan di antara kementerian-kementerian di pusat dengan agensi-agensi di peringkat negeri iaitu siapa yang sepatutnya lantik konsultan ini, saya fikir ada cara untuk perbaiki perkara ini agar lebih berkesan dalam kita merancang dan meluluskan satu-satu projek,” katanya.

Mengulas mengenai taklimat itu, Nor Mohamed berkata, perbincangan lebih menjurus kepada penerangan dan taklimat berhubung perlaksanaan RMK-10.

Menurutnya, banyak isu yang dibincangkan tentang keutamaan yang harus diberikan seperti hospital dan jalan-jalan selain membincangkan tentang isu-isu teknikal seperti melihat apakah faktor yang wujud yang menghalang keberkesanan perlaksanaan projek dengan cepat.
- Sinarharian Ahad 31-1-2010

0 comments:

Post a Comment